PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA
Datuk Seri Najib Pemangku Ketua Pergerakan
Datuk Seri Najib dilantik sebagai Pemangku Ketua Pemuda pada 24 April 1987 bagi menggantikan Anwar Ibrahim. Pelantikan ini diumumkan sendiri oleh Anwar dalam Perhimpunan Agung Pergerakan pada tahun tersebut, berikutan desakan agar Anwar bertanding merebut jawatan Naib Presiden UMNO. Dengan pengesahan jawatannya itu, Datuk Seri Najib telah mencatatkan satu sejarah dalam Pemuda dan sejarah keluarganya kerana pada 1951, jawatan Ketua Pemuda yang dipangkunya itu pernah disandang oleh bapanya Tun Haji Abdul Razak.Sebelum memangku jawatan Ketua Pemuda ini, beliau telah memegang jawatan Naib Ketua bagi tiga penggal berturut-turut, satu penggal di bawah Datuk Suhaimi Kamaruddin dan dua penggal di bawah Anwar.Gambaran pelantikan Datuk Seri Najib sebagai Pemangku yang diumumkan oleh Anwar pada upacara berkenaan begitu menarik perhatian. Dalam buku Dilema Pemuda Melayu 'Kemelut' karangan Kamal Amir dicatatkan babak-babak menarik: "... Masih saya ingat lagi suasana muram yang menyelubungi seluruh perwakilan dari 144 bahagian Pergerakan Pemuda UMNO sewaktu saudara Anwar Ibrahim menyatakan pendiriannya untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda UMNO. Malahan Saudara Nazri Tan Sri Aziz Yeop yang menjadi salah seorang Exco Pergerakan tersebut terpaksa tunduk menahan sebak di dada, dan dari jauh lagi terlihat linangan air matanya menandakan kesedihan yang teramat sangat kerana terpaksa berpisah dengan Saudara Anwar Ibrahim." Penulis ini menambah : "... Sementara itu Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian Seputeh, Saudara Tengku Adnan Tengku Mansur, berkali-kali melahirkan kata-kata dalam sendu yang tertahan-tahan, "... teramat sedih rasanya suasana Perhimpunan Pemuda hari ini. Malahan terasa sayu pula saya bila melihat kemuraman yang terpancar di wajah ahli-ahli Perwakilan Pemuda. Amat sedih..."kata nya berulang kali." Gambaran yang diberikan oleh penulis ini secara tidak langsung memberi pelbagai tafsiran. Adakah Anwar masih diperlukan di peringkat Pemuda dan mampukah penggantinya Datuk Seri Najib mengekori stail kepimpinan Anwar ini? Ini dapat dibuktikan apabila penulis itu menambah: "... Pada peringkat awalnya begitu ramai para pemimpin peringkat bahagian Pergerakan Pemuda UMNO yang merasakan bahawa ketiadaan Saudara Anwar Ibrahim nanti Pergerakan Pemuda bakal mengalami hari- hari yang sunyi dan sepi dari kelantangan Saudara Anwar membawakan isu-isu demi kepentingan umat Melayu di bumi Melayu." Bukan sekadar itu sahaja, malahan ada pula yang lebih berani membuat ramalan kononnya taring Pemuda akan ketandusan, suara Pemuda juga akan tentulah tidak selantang di era Saudara Anwar Ibrahim.Bagaimanapun pandangan penulis ini disanggah sendiri oleh beberapa tokoh Ketua Pemuda. Ketua Pemuda Bahagian Seputeh, Datuk Tengku Adnan menekankan bahawa Datuk Seri Najib juga mempunyai karisma kepemimpinannya sendiri. Malahan bekas Ketua Pemuda Lembah Pantai, Dr Samaruddin Rejab dan Ketua Pemuda Bahagian Bagan Datok, Ahmad Zahid Hamidi begitu yakin dengan kualiti dan kepemimpinan yang ada pada Datuk Seri Najib.Era Datuk Seri Najib sebagai Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda menyaksikan pergolakan yang hebat berlaku ke atas parti induknya. Sejarah hitam telah tercatat dalam arena politik tanah apabila UMNO berpecah kepada dua kumpulan. Kumpulan Dr Mahathir-Ghafar telah bersaing dengan kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah-Datuk Musa Hitam dalam pertandingan merebut jawatan-jawatan penting parti dalam Persidangan Agung UMNO pada 24 April 1987 yang menyaksikan kekalahan kepada kumpulan Tengku Razaleigh dan Datuk Musa Hitam.Dalam pergolakan kuasa dua kumpulan ini, Datuk Seri Najib telah tidak menjelaskan pendiriannya secara nyata di peringkat awalnya sebaliknya memberi ketegasan apabila melihat kewibawaan Datuk Seri Dr Mahathir yang semakin terserlah walaupun diuji begitu kuat sekali. Datuk Seri Najib bukanlah seorang yang suka memperlihatkan reaksi kepada sebarang spekulasi mengenai dirinya. Oleh sebab itu jarang sekali beliau mengesah atau menafikan berita-berita yang dikaitkan dengan dirinya.Beliau di sini dilihat sebagai seorang yang berstrategi dan mempunyai kematangan dalam berpolitik. Walaupun pelbagai tohmahan dan tuduhan dilemparkan terhadapnya, Datuk Seri Najib terus yakin dengan pendiriannya. Dalam sejarah kepemimpinannya sama ada politik atau kerajaan, beliau tidak pernah menimbulkan kontroversi melainkan diganggu-gugat nasib bangsanya. Wataknya yang tenang dan lembut, ideologinya yang agak konservatif dan kebangsawanan dan tabiinya yang tidak begitu mendominasi tidak memungkinkan beliau terlalu agresif untuk menyokong mana-mana belah pihak.Pada waktu tersebut, tingkah laku yang diperlihatkan oleh Datuk Seri Najib ini menyebabkan beliau dianggap rendah (under-estimate) oleh kawan dan lawannya. Akan tetapi di sinilah sebenarnya terletak kekuatan dan kebijaksanaan beliau. Sebagai seorang yang konservatif, bangsawan dan orang dalam kerana sejak kecilnya hidup dalam keluarga pemimpin utama UMNO, Tun Abdul Razak; personaliti beliau teradun secara harmoni dalam budaya dan tradisi UMNO. Gaya dan ciri kepemimpinan beliau adalah gaya dan ciri tradisi UMNO. Berbanding dengan lain-lain tokoh muda dalam UMNO ketika itu, beliau dikatakan lebih disenangi oleh kebanyakan pemimpin veteran UMNO.Mengenai ketokohannya dalam peringkat ini, ia sendiri turut disuarakan oleh Menteri Penerangan, Datuk Mohamed Rahmat. Dalam satu majlis makan malam atas nama Mingguan Perpaduan dan Kebudayaan Malaysia - Libya pada 6 April 1988, Datuk Mohamed Rahmat yang juga sebagai Setiausaha Agung UMNO berkata: ".... Saya kira nasib Najib masih baik dan peluangnya masih ada di samping ketokohan pada diri dan gambaran wajahnya masih belum pudar lagi." Kata-kata Menteri Penerangan ini telah mendapat tepukan gemuruh dari para hadirin, di celah-celah tepukan itu kedengaran juga tempikan dan laungan Hidup Najib.Bagaimanapun kemenangan Datuk Seri Dr Mahathir - Ghafar telah tidak diakui oleh sebilangan kecil anggota UMNO. Sebelas orang anggota UMNO yang dikenali Geng 11 yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang diperolehi telah membawa perkara tersebut ke mahkamah. Mereka mendakwa keputusan pemilihan pada 24 April 1987 sebagai tidak sah kerana ada cawangan UMNO yang tidak berdaftar telah mengundi dalam pemilihan tersebut. Akibat daripada tindakan mereka itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengisytiharkan UMNO adalah sebuah pertubuhan yang tidak sah kerana telah melanggar Akta Pertubuhan. Dengan pengharaman UMNO seperti yang diisytiharkan oleh Hakim Datuk Harun Hashim, Pemuda yang menjadi sayap kanan kepada parti induknya turut terkubur.Pengharaman ini juga bermakna secara automatik semua anggota Exco Pemuda kehilangan jawatan mereka. Bagaimanapun 21 Mei 1988 merupakan tarikh keramat bagi Datuk Seri Najib apabila beliau dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda selepas parti itu didaftar pada Februari 1988.Pelantikan beliau juga mencatatkan sejarah baru UMNO apabila pelantikan Ketua Pergerakan Pemuda dan Ketua Pergerakan Wanita adalah diputuskan oleh Presiden dan Majlis Tertingginya.Sedangkan pada tahun-tahun sebelumnya, jawatan Ketua Pemuda adalah dipilih melalui pemilihan. Bagaimanapun dengan pelantikan ini, tamatlah spekulasi tentang siapakah yang bakal mengisi kekosongan kerusi Ketua Pergerakan Pemuda ini.Sebaik sahaja dirinya dilantik ke jawatan tersebut, visi dan matlamat yang mahu dibawa oleh Datuk Seri Najib semakin terserlah.Beliau telah menggariskan tiga program untuk membantu mengemaskinikan dasar dan jentera pentadbiran UMNO. Tiga program tersebut adalah : Pertama, penyusunan semula Pergerakan Pemuda yang melibatkan peringkat kebangsaan, negeri dan bahagian. Kedua, menggerakkan jentera Pemuda untuk memberikan penjelasan tentang UMNO bagi tujuan membetulkan gambaran yang kadangkala dikelirukan oleh sesetengah pihak. Dan ketiga, menganjur dan mengadakan kursus-kursus tertentu bagi melengkapkan lagi pengetahuan, semangat dan kemampuan ahli-ahli Pemuda untuk terus berjuang dengan lebih berkesan.Menghuraikan dasar-dasar yang akan diperahinya dalam memimpin Pemuda, Datuk Seri Najib menjelaskan bahawa Pergerakan Pemuda di bawah kepemimpinannya akan memperjuangkan konsep yang menyeluruh secara total. Islam sebagai asas dan punca kekuatan Pemuda akan dijadikan ideologi dalam apa jua program yang akan dilaksanakan. Menurutnya, agama Islam merupakan agama yang dapat memandu umatnya dalam segenap aspek termasuk hubungan kenegaraan, hubungan kemasyarakatan, hubungan sosial, peribadi mahupun tanggungjawab umat dari sudut Fardu Ain kepada Allah SWT. Datuk Seri Najib tidak mahu melihat Islam sebagai satu ritual sebaliknya merangkumi segenap aspek kehidupan masyarakat termasuk kepada golongan bukan Islam.Dalam politik bangsa Melayu, Datuk Seri Najib meletakkan perpaduan bangsa sebagai satu keutamaan. Beliau mahukan perpaduan yang mantap di kalangan umat Melayu agar mereka dapat bekerjasama untuk terus membangunkan bangsa dan negara. Dalam satu persidangan akhbar pada Mei 1988, beliau menegaskan bahawa kepemimpinan Pemuda seharusnya melihat masalah perpecahan dan kemiskinan masyarakat Melayu sebagai dua gejala yang boleh meleburkan ketahanan masyarakat selepas tahun 1990. Menurut beliau masyarakat Melayu tidak mampu lagi untuk berpecah kerana jika terus berlaku perpecahan, generasi muda hari ini dan akan datang akan merasai akibatnya.Beliau tidak mahu Pemuda memainkan peranan sebagai golongan pendesak kerana yang penting ialah kemampuan untuk mengembalikan kestabilan dan perpaduan masyarakat. Datuk Seri Najib melihat perpecahan akan menyebabkan bangsa Melayu terus merempat di negara sendiri dan semakin dilemahkan oleh golongan tertentu yang menunggu peluang untuk berkuasa. Tindakan beliau ini ada kebenarannya. Masih ramai lagi bangsa Melayu yang miskin terutamanya penyokong kuat UMNO di luar bandar. Menurut statistik, purata 160,000 keluarga Melayu adalah tergolong dalam kategori miskin, khususnya di laur bandar yang mempunyai pendapatan kira-kira RM 175 sebulan. Ekoran itu, Datuk Seri Najib mahu Pemuda melihat kemiskinan sebagai antara isu yang diperjuangkan dan bukan sekadar menjadi pendesak semata-mata.Pada tahun yang sama ketika diminta mengulas mengenai Team A dan Team B yang belum diketahui keberkesanan perpaduannya, beliau menegaskan semua ahli dan pemimpin-pemimpin politik perlu bersikap jujur sejujurnya bila bercakap mengenai perpaduan dan mengetepikan sentimen emosi dan rasa marah supaya perpaduan dalam parti akan berhasil. Melalui tindakan dan sikapnya ini, darah Allahyarham Tun Abdul Razak terus mengalir di dalam dirinya. Dalam Perhimpunan Agung UMNO ke 24 pada 30 Jun 1976, Allahyarham juga menekan betapa pentingnya perpaduan ahli-ahli UMNO. Antara lain Allahyarham menyebut: "... Saya suka terus terang, jika parti kita sentiasa sanggup menjadi PEMEGANG AMANAH RAKYAT DENGAN IKHLAS, saya tidak bimbang akan cabaran dari pihak lain. Tetapi jika kita tidak ikhlas dalam menjalankan peranan kita sebagai pemegang amanah rakyat, sifat itu dengan sendirinya akan menghancurkan kita. Sebaliknya jika ahli-ahli menjadi pemegang amanah rakyat secara ikhlas, tetapi pertubuhan tidak mempunyai pemimpin-pemimpin yang ikhlas, kekuatan kita akan menjadi pentas pergelutan kuasa sesama sendiri dan ini akan merugikan kita." Sebagai pemimpin yang ikhlas dalam perjuangan, Datuk Seri Najib seolah-olah mahu membawa mandat dari Allahyarham bapanya dalam memperjuangkan perpaduan. Oleh itu, tidak menghairankan apabila beliau antara beberapa orang Menteri Penuh yang memujuk Timbalan Menteri, Datuk Musa Hitam di London agar tidak meletakkan jawatan sebagai pemimpin kerajaan dan UMNO. Beliau telah membuktikan keikhlasannya mengenai perpaduan bukan sekadar omelan kosong sebaliknya dihayati dan dipraktikkan sekali walaupun tindakan memujuk itu dijadikan propaganda oleh sesetengah anggota UMNO.Beliau juga dengan berani mengulas mengenai perlaksanaan resolusi Perhimpunan Melayu Johor (PMJ) yang diadakan pada Januari 1989 di negeri Johor. Resolusi Johor ini dianggap penting kerana menggabungkan 50 pertubuhan Melayu Johor dan menyebabkan sokongan UMNO di negeri berkenaan semakin bertambah. Dalam satu ceramah politik di Batu Pahat pada Februari 1989, Datuk Seri Najib yakin resolusi ini dapat memulihkan perpaduan di Johor kerana semua bekas ahli UMNO diterima keahliannya secara automatik dan berharap menjadi contoh kepada umat Melayu Pulau Pinang.Bagaimanapun dengan lantangnya beliau menegaskan perlaksanaan resolusi ini untuk memulihkan perpaduan umat Melayu Johor diharapkan tidak mengorbankan pemimpin UMNO yang telah memulihkan kegiatan parti itu di seluruh Johor. Menurut beliau lagi, orang Melayu Johor perlu berterima kasih kepada pemimpin yang sanggup memulihkan semula kegiatan parti itu di bahagian-bahagian walaupun menghadapi cabaran sengit dari kumpulan Semangat 46.Hasrat perpaduan yang dicita-citakan itu mengimbau sehingga melewati sempadan daerah dan negara. Pada zamannya juga diwujudkan Dialog Malindo - satu perbincangan khusus antara Pemuda Malaysia dan Indonesia. Dialog Malindo Pertama diadakan pada 15 - 18 April 1988 di Melaka dan Dialog Malindo Kedua di Bogor, Indonesia pada 17 - 19 Januari 1990. Dalam ucapannya di Bogor itu, beliau menegaskan perlunya dilakukan dialog berterusan agar kedua-dua golongan pemuda dapat mengenali dan memahami secara lebih dekat dan lebih mendalam antara satu sama lain.Beliau mengharapkan usaha dialog ini secara langsung menutup jurang historical perspective dari kedua generasi muda negara terbabit. Hubungan antara Malaysia dan Indonesia tidak diharapkan selamanya emosional melainkan dilandaskan pada kerjasama erat dan mantap.Datuk Seri Najib yakin berdasarkan hubungan erat yang telah terjalin, pemudanya dapat membangunkan kerjasama dalam keadaan nyata. Hubungan kedua negara ini perlu secara istimewa dibangunkan dan dikembangkan secara bersama. Hal ini akan mendorong dua kumpulan pemuda ini untuk menterjemah dan mewujudkan premis pokok dalam tindakan yang nyata yang dapat dan mampu menjamin keamanan dan kesejahteraan kawasan serta masyarakat kedua bangsa khususnya dan Asia Tenggara pada umumnya.Dalam perjuangan bersama Pergerakan Pemuda, ada pihak tertentu yang mahukan beliau mempunyai identiti sendiri seperti mana terdapat dalam Ketua Pergerakan Pemuda sebelumnya. Ramai mempersoalkan ke manakah haluan yang mahu di bawa oleh dirinya itu? Sebelum ini, identiti Pergerakan Pemuda UMNO di bawah pimpinan Datuk Harun Idris adalah sebagai Preasure Group atau Kumpulan Pendesak yang mana banyak isu-isu kontroversial telah dicetuskan. Pemuda di zaman Syed Jaafar Albar pula dikenali sebagai Ginger Group atau Kumpulan Halia. Apabila Datuk Suhaimi Kamaruddin mengambil alih jawatan itu, Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos ini mula melaungkan Pemuda Era Bertindak. Di bawah Anwar Ibrahim identiti Pemuda semakin terserlah. Kebangkitan Islam mula dirasakan dan penekanan keilmuan terus dipertegaskan. Pada zaman ini kebolehan dan kewibawaan Anwar Ibrahim diperakui oleh pelbagai pihak sehingga ada penulis yang membuat kajian menulis: "... Selain daripada kecerdasan yang tinggi, kebolehan asas dan kemahiran aptitud dan potensi dalam bidang tertentu, pemimpin dalam situasi di mana krisis mungkin berlaku memerlukan reaksi mental yang cekap. Kebolehan ini ada pada Anwar Ibrahim." Bagaimanapun selepas setahun Datuk Seri Najib mengetuai Pergerakan Pemuda, identiti dan arah perjuangannya menjadi semakin nyata. Pada peringkat awal, Pemuda menampakkan tindakan mereka sebagai kumpulan pendesak untuk kepentingan umat Melayu dan Islam. Malah beliau sendiri mengakui hakikat ini seperti dalam ceramah dialog Malindo 1 di antara Pemuda Malaysia-Indonesia di mana antara lain beliau menyebut: "... Sejak zaman permulaan kemerdekaan, Pemuda bergerak sebagai sayap parti di dalam UMNO. Pemuda merupakan satu kumpulan yang mempunyai struktur dan identiti yang formal di bawah naungan parti induk UMNO. Begitu banyak slogan yang telah diberikan kepada Pemuda UMNO, di antaranya Pemuda sebagai Presure Group, Pemuda sebagai kumpulan Tahan Lasak, Pemuda sebagai Ginger Group ataupun Kumpulan Halia. Apa jua nama yang diberikan kepada Pemuda UMNO, maksud dan intipatinya tidak lari dari landasan untuk berjuang dengan tegas dan lantang demi kemenangan nasionalisme dan cita rasa bangsa Melayu kita." Peranan dan identiti Pergerakan Pemuda UMNO di bawah kepimpinannya semakin diperjelaskan apabila beliau berceramah dalam Dialog Malindo II di Bagor, Indonesia, pada 18 Januari 1990. Datuk Seri Najib menekankan perlunya hubungan baik antara golongan muda dan tua dalam pembangunan negara yang mencakupi juga pelbagai aspek kehidupan. Era mendesak dikurangkan dan diganti dengan pengisian kecemerlangan ke arah pembentukan Melayu gemilang. Antara lain dalam ucapannya ini beliau menyebut: "... Mengenai masalah kepemudaan, masa sekarang ini di pemerintahan Malaysia terjadi gabungan antara golongan tua dan muda," Sebagai ketua Pergerakan Pemuda yang sanggup lakukan apa saja untuk kepentingan bangsanya, pendirian Datuk Seri Najib terhadap bangsa Melayu dan Islam begitu kuat sekali. Tidak ada siapa yang berani menggangu-gugat. Sungguhpun dia kelihatan seperti seorang tokoh yang mesra dan mudah bertolak ansur tetapi dalam isu memperjuangkan nasib bangsa, pendiriannya tetap kukuh menentang segala musuh yang cuba mempertikaikan kewibawaan kepemimpinan Melayu. Beliau mahu melihat hubungan bangsa Melayu dengan the national accumulated debt to the Malays dijadikan sebagai perjuangan nasional yang penting pada masa akan datang. Berdasarkan faktor kemiskinan dan tekanan yang dihadapi oleh bangsa Melayu, maka usaha meletakkan bangsa Melayu di tempat yang tinggi dan sewajarnya amat ditekankan oleh beliau. Bagi Datuk Seri Najib, Pemuda mestilah menjurus kepada falsafah bahawa bangsa Melayu mestilah kekal sebagai bangsa dominan di dalam pemerintahan tanah. Dan konsep Melayu dominan inilah yang diperjuangkan oleh Pemuda hari ini dengan mengambil kira fleksibiliti dari segi pendekatannya.Faktor ini telah ditegaskan oleh beliau sendiri dalam Dialog Malindo I. Beliau telah menyebut : "...Dalam soal pokok, dalam soal politik, di mana kita hendak menentukan kekalnya Malay dominance ini, bagi Pemuda tidak ada compromise, tidak ada tolak ansur. Hal ini adalah amat penting di tegaskan, kerana sesuai dengan sejarah bahawa Melayu adalah ' the definitive race' dalam konteks kita sebagai bangsa induk. Melayu adalah merupakan bangsa peribumi. Justeru itu politik Malay dominance tidak mempunyai ruang untuk compromise. Sebaliknya kita harus menterjemahkan konsep ini dari perspektif politik ke bidang-bidang lain." Dalam menyatakan pendirian ini, Datuk Seri Najib mahukan konsep ini bukan sahaja diterjemahkan dalam politik semata-mata tetapi juga dalam bidang sosial dan ekonomi. Apa yang beliau maksudkan adalah keadilan ataupun social equality ataupun social justice sebagai inti dalam politik dominan Melayu yang mesti diperjuangkan dalam Pemuda. Beliau melihat aspek ini masih belum tercapai dan memerlukan masa yang panjang untuk memenuhi hasrat tersebut. Di samping itu beliau menegaskan bahawa dominan politik Melayu harus diasaskan kepada kedaulatan bangsa Melayu dalam keadaan yang sebenarnya dan tidak boleh berganjak sama sekali daripada konsep yang terkandung dalam induknya.Pendirian tidak bertolak ansur menentang golongan yang mempertikaikan dominan politik Melayu mula ditunjukkan apabila beberapa orang pemimpin MCA, iaitu rakan UMNO dalam Barisan Nasional mengambil kesempatan dengan menimbulkan perkara sensitif yang boleh menyebabkan berlakunya rusuhan kaum. Melalui satu seminar yang dianjurkan oleh MCA, Datuk Kok Wee Kiat telah menyatakan MCA dan pucuk pimpinannya harus mencari jalan supaya formula sebelum merdeka dikaji semula dalam aspek pembahagian hak keistimewaan di sektor ekonomi di kalangan sesama rakyat negara ini. Timbalan Presiden MCA, Datuk Lee Kim Sai pula cuba membangkitkan persoalan mengenai beberapa hak istimewa orang Melayu. Isu berkenaan telah menjadi tumpuan umum dan yang menggemparkan ialah tuntutan pengguguran istilah Bumiputera kepada orang Melayu dan bangsa asing kepada yang bukan Melayu.Selain isu peribumi itu, MCA Selangor pula telah meluluskan ketetapan yang dianggap mempersoalkan kedudukan Raja-raja Melayu. Isu-isu ini telah diperhangatkan dengan isu perkauman yang lain seperti pelantikan guru-guru besar sekolah Cina dan isu pemakaian songkok di Universiti Teknologi Malaysia. Selain itu Datuk Lim Liong Sik, Presiden MCA, telah memperkecilkan Pemuda UMNO dengan mengatakan bahawa Pergerakan itu adalah seperti anjing menyalak bukit. Terdapat juga pemimpin MCA yang menyatakan parti Cina lebih kuat daripada UMNO kerana menurut mereka masyarakat Cina berjumlah lima juta orang berbanding ahli-ahli UMNO hanya 1.5 juta orang.Kenyataan-kenyataan yang dibuat ini seolah-olah mencabar ketuanan Melayu di tanah airnya sendiri telah mendapat reaksi daripada Pemuda yang merupakan sayap kanan kepada badan induknya. Datuk Seri Najib berserta dengan barisan Exco Pemuda telah mengusahakan satu perhimpunan raksasa Pemuda yang bertujuan mendesak kerajaan supaya tidak tunduk terhadap desakan daripada golongan yang sengaja mencari peluang untuk menimbulkan kekacauan.Perhimpunan itu juga adalah untuk menunjukkan kepada mereka yang cuba mencabar ketuanan Melayu bahawa Pemuda akan sentiasa berdiri teguh di belakang badan induknya dalam mempertahankan hal-hal orang Melayu. Pada 17 Oktober 1987, kira-kira 20,000 pemuda Melayu telah berkumpul di Padang TPCA, Kuala Lumpur, untuk menyatakan bantahan terhadap kelantangan bukan Melayu terhadap isu peribumi. Dengan penuh semangat,Pemuda telah menyanyikan lagu Barisan Kita untuk menunjukkan kesepaduan mereka dalam menghadapi isu tersebut. Pada ketika itu, tiada sesiapapun yang menyangka Datuk Seri Najib bersama barisan Exco Pemuda begitu lantang dan berani menyuarakan pandangan secara terbuka.Perhimpunan yang diadakan itu juga bertujuan untuk mengingatkan pemimpin MCA dan lain-lain pertubuhan Cina agar tidak membangkitkan isu yang boleh mengguris hati orang Melayu. Seminggu selepas perhimpunan tersebut, kerajaan telah mengadakan Operasi Lalang menangkap 111 orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Antara mereka yang ditangkap termasuklah Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen DAP Kota Melaka, Lim Guan Eng; Presiden Aliran, Dr Chandra Muzaffar; Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh; Ahli jawatankuasa Kerja DAP, Hu Sepang; Timbalan Setiausaha Agung 11 DAP, P.Patto; Ahli Parlimen Damansara, V.David; Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Chan Tse Yuen dan beberapa orang lain. Tiga Exco Pemuda Malaysia turut ditahan. Mereka ialah Tajuddin Abd.Rahman, Fahmi Ibrahim dan Ibrahim Ali. Selain itu, tiga buah akhbar telah turut ditarik permit KDNnya iaitu Akhbar Sin Chiew Jit Poh, The Star dan Watan kerana memainkan sentimen perkauman.Kontroversi itu juga telah membawa kepada perlucutan gelaran Datuk daripada Lee Kim Sai oleh Sultan Selangor. Penyerahan gelaran itu berlaku pada 25 Oktober 1987. Lee Kim Sai telah mewakilkan Setiausaha Politiknya, Ong Tee Kiat bersama Alex Chong selaku Setiausaha Akhbar dan Setiausaha Eksekutif MCA Selangor, Tan Beng Huat menyerahkan bintang-bintang itu kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Taib. Dua bintang yang diserahkan semula ialah Darjah Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Datuk dan Bintang Setia Mahkota Selangor (SMS).
The King, his family and U
1 week ago
[] http://www.facebook.com/photo.php?fbid=267252156629215&l=0f726976e8
ReplyDelete.
Selamat Hari Raya Puasa,
kepada,
Ketua UMNO Desa Nirwana,
Kg. Desa Nirwana,
Jalan Air Bukit,
68000 Ampang,
Selangor.
.
Daripada,
UMNO Cawangan,
Pangsapuri Taman Ampang Mewah (Blok C).
[] http://umnobunian.blogspot.com/2011/09/welcome.html