Wednesday, June 3, 2009

KETUA UMNO PANDAN DIDAKWA RASUAH??

KUALA LUMPUR 26 Mei - Ketua UMNO Bahagian Pandan, Abd. Ghani Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan tuduhan menerima rasuah berjumlah RM210,012 membabitkan tender perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan kerja pembersihan kepada sebuah syarikat.

Abd. Ghani, 43, turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi tuduhan rasuah berhubung pelantikan syarikat yang dia mempunyai kepentingan sebagai subkontraktor dalam kerja-kerja pelupusan sisa pepejal.

Pengakuan tersebut dibuat selepas kesemua 10 pertuduhan ke atasnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin.

Bagi sembilan tuduhan pertama, dia didakwa menerima rasuah berjumlah RM210,012 daripada Abdul Rahman Yaacob sebagi balasan menolong pemilik syarikat pelupusan sisa pepejal itu mendapatkan tender-tender perkhidmatan kutipan sisa pepejal di Taman Lembah Maju dan Taman Kencana serta kerja-kerja pembersihan di Pandan Cahaya.

Dia didakwa menerima rasuah berkenaan antara Ogos 2006 dan Mac 2007 di Restoran Islah Tomyam, Jalan 5/76B. Desa Pandan dan di hadapan Blok E 15, Jalan 4/76B, Desa Pandan di sini.

Abd. Ghani ketika itu merupakan anggota Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) merangkap Ahli Jawatankuasa Tender MPAJ.

Dia turut didakwa memperoleh suapan berupa pelantikan Syarikat Lembah Rimbun sebagai subkontraktor kepada Syarikat Dwisakti Mewah Sdn. Bhd. sebagai balasan untuk mendapatkan tender kerja-kerja pelupusan sisa pepejal di kawasan Pandan Indah bagi Dwisakti.

Mengikut pertuduhan, Abd. Ghani sebenarnya mempunyai kepentingan dalam syarikat Lembah Rimbun.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di No. 27, Jalan Pandan 7, Pandan Jaya di sini pada 1 Mei 2006.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana satu yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ng Siew Wee manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Siew Wee mencadangkan jaminan ditetapkan sebanyak RM25,000 bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun Abd. Ghani memohon jumlah tersebut dikurangkan memandangkan dia tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menanggung isteri bersama tiga anak serta lapan orang adiknya.

Rosbiahanin selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan tertuduh menetapkan ikat jamin sebanyak RM23,000 dengan seorang penjamin.

Kes akan disebut semula pada 26 Jun ini bagi memberi peluang kepada tertuduh untuk melantik peguam bela.


{Artikel dipetik dari Utusan Online bertarikh 27 May 2009)


Saya menyeru agar ahli-ahli UMNO Pandan bersatu dan mendoakan agar Saudara Ghani tabah  menghadapi dugaan ini. Pepatah inggeris ada berkata, "innocent until provent guilty".



No comments:

Post a Comment